Halaman

Isnin, 10 Ogos 2009

1 Malaysia Juadah yang belum dimasak



Timbalan menteri pendidikan tinggi mengumpamakan gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak seperti “juadah yang belum siap”, berbeza dengan gagasan sebelumnya.

“Yang membezakan Satu Malaysia daripada (gagasan) yang lain seperti wawasan 2020 misalnya dan Misi Nasional, ialah hakikat bahawa Satu Malaysia itu tidak dihidangkan sebagai suatu juadah yang sudah siap dimasak,” kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berucap ketika menyampaikan ucap utama berjudul 'Kepentingan Memahami Peranan dan Sumbangan Islam sebagai Teras Kenegaraan' dalam satu kongres pelajar di ibu negara semalam.

Tambahnya, gagasan itu berbeza kerana wawasan Tun Dr Mahathir Mohamad dan misi Tun Abdullah Ahmad Badawi masing-masing dihidangkan tanpa melibatkan idea daripada rakyat.

“Datuk Najib mengambil pendekatan berbeza, dengan hanya menggariskan satu, dua perkara sahaja. Malahan beliau hanya menggariskan dua perkara. Pertama, ada lapan nilai yang asas.

"Dan kedua, (dengan) mengatakan bahawa, Satu Malaysia tidak bertentangan dengan apa yang telah sedia ada,” katanya.

Menurut Saifuddin lagi, perkara ini jarang disentuh sebaliknya banyak perbincangan sebelum ini menjurus ke arah membezakan gagasan tersebut dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP.

Dalam kongres bagi menegaskan teras-teras kenegaraan itu, Saifuddin turut memuji penganjurnya Pertubuhan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM), antaranya kerana lantang berjuang supaya perundangan "drakonian” Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda.

Dalam sidang media selepas itu, beliau berkata, selepas pindaan akta itu, mahasiswa kini boleh terlibat lebih banyak dalam politik, tetapi bukan atas nama parti politik.

Ditanya sama ada kementeriannya telah mengenal pasti mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi besar anti-ISA seminggu lalu, Saifuddin hanya menjawab “tidak ada”.

“Apa masalahnya dia hendak demonstrasi?” soalnya kembali.

Kongres sehari itu bertujuan menegaskan empat teras kenegaraan, iaitu, agama Islam, perpaduan rakyat, integriti dan jati diri Malaysia serta kecemerlangan ekonomi.

Empat sarjana diundang membentangkan kertas kerja bagi mengupas kepentingan teras-teras itu, antaranya Prof Dr Wan Mohd Noor Wan Daud dan Dr Sarjit Singh Gill.

Dr Sarjit dalam pembentangan "Perpaduan Melayu lawan Perpaduan Nasional?" selepas itu menegaskan bahawa perpaduan Melayu tidak bertentangan dengan perpaduan nasional, sebaliknya bertindak sebagai terasnya.

Pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia itu berkata, masalah perpaduan hanya berlaku antara parti politik Melayu – PKR, PAS, Umno – tetapi tidak berlaku dalam hubungan masyarakat.

“Mereka terpisah kerana ingin mempertahankan kedudukan kepartian masing-masing. Hubungan intra-etnik yang tidak kukuh ini sebenarnya melemahkan umat Melayu sendiri dari kaca mata masyarakat bukan Melayu.

“Namun hanya ada kesepaduan umat Melayu yang terbatas, misalnya PAS dan PKR. Mereka tidur sebantal, namun mempunyai mimpi yang berlainan.

"Malah PAS dan PKR mengutamakan hubungan dengan DAP berbanding Umno dalam membincangkan hal-ehwal dan kepentingan masyarakat Melayu,” katanya.

Tiada ulasan: